Tuduhan Terhadap Mentega Terbang Menggugat Masa Depan Industri Perfileman Malaysia 

Category
Tags
Share

17 Januari 2023: Hari ini, Pengarah dan Penerbit filem Mentega Terbang, Khairi Anwar dan Tan Meng Kheng telah didakwa di bawah Seksyen 298 iaitu dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain. Tuduhan tersebut boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya. Ini berlaku selepas filem mereka Mentega Terbang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada September 2023 dan ditarik dari platform penstriman Viu pada Mac 2023. Freedom Film Network (FFN) mengecam dengan tegas gangguan berterusan terhadap para pembikin filem.

Menjenayahkan pembikin filem atas filem fiksyen yang mendapat inspirasi daripada pengalaman hidup dalam memproses kedukaan adalah sesuatu yang berlebihan dan tidak seimbang. Tiada bukti bantahan awam berterusan berlaku dan filem tersebut diharamkan pada September 2023. Reaksi kerajaan pula dilihat terlalu menekankan peranan filem dalam mempengaruhi individu. Walhal, ibu bapa, persekitaran rumah dan guru yang memainkan peranan lebih penting daripada filem dalam membentuk pandangan dunia seseorang. Walau bagaimanapun, filem dan pembikin filem kelihatan menjadi satu-satunya yang dihukum dan dijenayahkan atas pengaruh negatif terhadap nilai-nilai sosial. Ini meletakkan tanggungjawab tidak adil dan beban kepada pembikin filem untuk menjadi kompas moral negara. 

Bagi membina keharmonian negara, kita memerlukan komunikasi terbuka, dialog dan ruang selamat untuk berkongsi pandangan berbeza supaya lebih memahami antara satu sama lain. Dalam pengalaman kami, Mentega Terbang adalah alat terbaik untuk memupuk perbincangan seperti itu. Para penonton yang kami berjumpa juga mengatakan bahawa mereka faham dan menghargai kepercayaan agama lain dengan lebih baik setelah menonton filem ini dan mampu mengaitkan pengalaman watak utama dengan pengalaman mereka sendiri. Namun, pengalaman positif sedemikian terhadap filem ini tidak diambil kira oleh pihak berkuasa.

Pendekatan kerajaan yang mengharamkan filem dan kini menjenayahkan pembikin filem adalah bentuk kawalan kandungan yang ketinggalan zaman. Dalam era digital hari ini dimana penonton didedahkan kepada pelbagai jenis kandungan, adalah mustahil untuk terus melarang apa-apa media sekalipun. Malahan, adalah lebih produktif memperkasakan rakyat dengan kemahiran untuk memproses, mengemudi dan berkongsi kandungan ini secara rasional dan bertanggungjawab. Ini adalah penting terutamanya dalam masyarakat yang berbilang budaya dan agama seperti Malaysia. Menyekat sebarang perbincangan sekitar filem ini tidak membenarkan kita untuk terus membangunkan kemahiran tersebut.

Tambahan pula, tindakan sebegini akan menjejaskan industri filem tempatan. Pengiktirafan antarabangsa bagi filem seperti Tiger Stripes, Abang Adik, Maryam Pagi Ke Malam dan Pendatang telah membentuk minat terhadap Malaysia sebagai tempat untuk kandungan media baru dan menarik. Ini berpotensi untuk membawa lebih banyak pelabur kepada industri perfileman kita. Walau bagaimanapun, tuduhan hari ini telah mengisyaratkan bahawa pembikin filem tidak dilindungi di Malaysia dan pembikinan filem sebenarnya profesion yang berbahaya. Ini akan memberi kesan sampingan untuk menakutkan pelabur menjauh daripada industri ini. 

Kami menyeru kepada kerajaan untuk segera dan tanpa syarat menarik tuduhan terhadap Khairi dan Tan. Kami juga mendesak kerajaan Madani untuk memansuhkan dan meminda peruntukan dalam Akta Penapisan Filem, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan seperti Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) yang menjenayahkan hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam perlembagaan. Jika Malaysia benar-benar ingin menjadi masyarakat beradab dan inklusif seperti yang diimpikan dalam visi Malaysia Madani, maka kita perlu lebih banyak cerita dan bukan lebih banyak penapisan.

Maklumat lanjut disini: https://freedomfilm.my/ms/saferspacesforarts/

Related News & Stories