Pemenang geran filem FFF2023 menerokai persoalan tentang diri dan rumah melalui “Home Sweet Home”

Sepanjang hidup Megan Wonowidjoyo, dia  cuba untuk menjadi seseorang yang  berbeza dari  ibunya. Namun apabila dia melalui perceraian, yang disifatkan sebagai titik terendahnya, dia mendapati dirinya kembali kepada ibunya. Pada masa itulah dia mendapati bahawa walaupun usahanya untuk melalui haluan yang berbeza, terdapat persamaan yang luar biasa antara kehidupan mereka. Pertama, mereka berdua menjadi ibu tunggal pada usia yang sama.

Megan dan ibunya juga adalah wanita yang menginginkan kebebasan untuk menjalani kehidupan  di luar daripada peranan  yang ditetapkan sebagai wanita dalam keluarga Cina Indonesia. Tindakan ibu Megan untuk memindahkan anak-anak perempuannya yang masih kecil ke Singapura untuk mendapatkan pendidikan, adalah suatu anomali dalam komuniti yang lebih menghargai anak lelaki berbanding anak perempuan. Dalam kisah Megan, dia meneroka peranan keperibadiannya  sebagai isteri dan ibu.  Kedua-dua wanita ini, nekad untuk mencari sesuatu yang lebih daripada apa yang ditawarkan dalam kehidupan mereka.

Kisah ini menjadi inspirasi untuk dokumentarinya, yang Megan gambarkan sebagai eksplorasi  “corak memori ibu, anak perempuan dan kenangan zaman kanak-kanaknya”. Menerusi filemnya, Megan berharap dapat menginspirasikan  lebih ramai wanita untuk menceritakan kisah mereka yang sukar dan bahawa pentingnya hadapi trauma mereka.

Treler ‘Home Sweet Home’ oleh Megan Wonowidjoyo

Soal jawab dengan Megan Wonowidjoyo

Di kala Megan dalam usaha  untuk menyiapkan filemnya, kami bertanya tentang cabarannya untuk menceritakan kisah yang amat peribadi, pembikin filem yang memberi inspirasi kepadanya dan nasihat kepada sesiapa yang ingin memulakan perjalanan sepertinya.

Pada mulanya, apa yang menarik minat anda untuk membuat filem?

Saya sentiasa berminat dengan seni dan lulus dengan ijazah dalam seni bina. Kemudian saya berkahwin dengan pembikin filem dan jatuh cinta dengan kesenian filem. Kami menonton filem, bercakap tentang filem, “bernafas” filem. Tidak lama kemudian saya menjadi rakan kongsinya dan kami berdua mula membuat filem dengan komited.

Bolehkah anda menerangkan gaya visual anda untuk dokumentari?

Sebagai seorang artis dan pembikin filem, gaya visual saya dipengaruhi oleh amalan melukis saya yang diilhamkan oleh kenangan peribadi. Watak, objek dan ruang filem adalah surealis, kerana naratif bergerak antara mimpi dan realiti, meditasi peribadi dan fantasi.

Apakah filem atau dokumentari yang memberi inspirasi kepada anda?

Terdapat banyak filem yang menarik di luar sana tetapi yang benar-benar mengharukan saya ialah filem yang sunyi tetapi menyentuh jauh di hati. Saya sangat menggemari filem-filem oleh Krzysztof Kieślowski, Edward Yang dan Andrei Tarkovsky.

Bagaimana rasanya membuat filem tentang dan bersama ibu anda?

Pada masa lalu, perbualan dengan ibu saya akan mencetuskan kenangan yang membuatkan saya bergelumang dengan kekecewaan. Saya sedar saya perlu membuat filem tentang ibu saya untuk menyelesaikan isu yang terkubur ini. Membuat filem dengan ibu saya membolehkan saya memerhatikannya dengan lebih dekat, kerana proses ini membolehkan saya mengetahui lebih banyak tentang ibu saya. Tetapi ia juga amat sukar untuk membuat filem ini dan memproses trauma yang tidak dapat diselesaikan antara kami.

Di mana anda dalam proses penerbitan untuk filem ini?

Saya sudah mencapai 50% daripada proses penerbitan filem, saya telah menyiapkan rakaman tentang ibu saya dan sedang merakam cerita bahagian saya.

Bagaimanakah geran filem ini akan membantu menyiapkan filem anda?

Ia memang sukar untuk membuat filem tentang ibu saya. Geran Freedom Film Festival ini memberi saya keberanian untuk menyiapkan filem ini dan menceritakan kisah peribadi saya. Geran ini akan membantu saya mendapatkan lebih ramai rakan usaha sama untuk projek ini, seperti komposer muzik dan artis penggredan warna, dan mungkin penolong penyunting.

Pada pendapat anda, bagaimanakah filem anda boleh digunakan untuk meneroka isu yang dihadapi oleh wanita? Adakah terdapat kumpulan advokasi yang anda ingin jalinkan kerjasama sebaik sahaja filem anda dihasilkan?

Filem ini berkongsi cabaran wanita melalui memori mereka – sama ada secara lisan atau secara separa sedar. Saya ingin menayangkan filem itu kepada perkumpulan wanita-wanita di Malaysia atau Singapura.

Adakah anda mempunyai sebarang nasihat untuk pembikin filem yang ingin membuat filem tentang kisah peribadi mereka?

Membuat filem adalah sukar tetapi ia juga satu keistimewaan. Jika ia adalah isu yang telah lama mengganggu anda atau sesuatu yang penting bagi anda, buatlah filem mengenainya. Hubungi mana-mana badan yang menyediakan geran filem dan bengkel yang boleh membantu anda menceritakan kisah yang baik. Pembikinan filem adalah seperti menaiki bot ke laut, anda tidak akan tahu pengembaraan apa yang akan datang sehingga anda mengambil langkah pertama anda.


Setiap tahun festival ini terbuka untuk cadangan daripada pembikin filem dan aktivis yang berminat di seluruh Malaysia & Singapura yang mempunyai kisah yang ingin diceritakan. Dua cadangan yang dipilih akan memenangi geran filem sebanyak RM15,000 / SGD5,000 setiap satu untuk menerbitkan filem tersebut.

Pemilihan ini berdasarkan tema edisi ke-20 FreedomFilmFest ‘Why Freedom?’, yang menjawab persoalan mengapa kebebasan adalah penting untuk kita menjadi manusia sepenuhnya? Dan apa yang berlaku kepada persekitaran kita apabila kebebasan kita disekat?

Related News & Stories