Pemenang Geran Filem FFF2023 membongkar realiti keganasan seksual terhadap lelaki

Menurut Kanun Keseksaan Malaysia, rogol ditakrifkan sebagai persetubuhan dengan wanita di luar kehendaknya atau tanpa persetujuannya. Bagaimana pula jika lelaki yang menjadi mangsa jenayah sedemikian? Pemenang Geram Filem FFF2023, Joshua Inberaj Dewet meneroka soalan ini dalam filemnya.

Poster pemenang geran filem FFF2023

Semasa kempen #MeToo, tumpuan terhadap keganasan seksual sebahagian besarnya tertumpu kepada wanita. Walaupun perbualan mengenai topik ini semakin meningkat, perspektif lelaki sebagai mangsa daripada serangan keganasan seksual biasanya diketepikan. Keganasan seksual ialah isu global yang melangkaui kaum, umur, sosio-demografi dan jantina  di mana Joshua Inberaj Dewet, pemenang Freedom Film Grant 2023, percaya adalah penting untuk tingkatkan kesedaran khususnya tentang isu ini.

Joshua tidak dilatih sebagai pembikin filem, tetapi dia bersemangat  untuk mencari medium penceritaan yang juga boleh berfungsi sebagai alat pendidikan advokasi untuk meningkatkan kesedaran tentang kelemahan sistematik dalam menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa. Idea untuk filem pendek mula terhasil apabila Joshua menemui geran filem Freedom FiIlm 2023, lalu Joshua mengemukakan cadangan filemnya yang membuka minda dan berjaya meneruskan cadangannya ke peringkat pitching. 

Semasa sesi pitching, Joshua menggunakan treler animasi yang menyentuh perasaan. Treler tersebut menandungi statistik tentang isu ini yang membuka mata, dan akhirnya menyebabkan para juri sebulat suara menganggap kisahnya sebagai suatu yang mesti diceritakan.

Joshua bersama para juri FFF2023 Jason Wee, Zurairi A.R & Nadia Khan bersama-sama dengan peserta lain yang disenarai pendek untuk peringkat pitching.

Kenali Joshua

Semasa Joshua sedang memperhalusi projeknya, kami bertemu dengannya untuk bertanya beberapa soalan.

1. Apakah pengalaman anda semasa sesi pitching? Apakah perasaan anda apabila memenangi geran tersebut?

Sesi pitching sungguh menegangkan, semua yang saya latih sebelum ini adalah bertentangan dengan apa yang saya mahukan. Sejujurnya, saya hampir menarik diri, tetapi kemudian saya berfikir “bukan setiap hari saya dapat melihat sesi pitching profesional, jadi baguslah kalau saya hadir dan mendapat pengalaman baharu” dan selebihnya adalah sejarah. Saya tak tahu nak rasa macam mana bila pemenang diumumkan, saya keliru dan terkelu, tapi saya tahu saya ada tanggungjawab untuk menceritakan kisah ini, dan saya berterima kasih kepada semua yang hadir di sana pada hari itu yang memberi saya peluang untuk menceritakan kisah saya.

2. Mengapakah anda rasa ini masa yang sesuai untuk anda menceritakah isu ini?

Saya rasa tidak pernah ada masa yang sesuai, cerita ini mungkin diceritakan lebih awal atau pada masa depan, tetapi berapa lama lagi…[isu ini terus] disembunyikan? Saya telah cukup lama menunggu.

3. Filem anda sangat peribadi, dan subjeknya amat berat. Bagaimanakah anda menyediakan diri dari segi emosi untuk menceritakan kisah ini?

Sejujurnya saya tidak bersedia dari segi mental dan emosi, tetapi saya mempunyai rasa tanggungjawab untuk melakukannya, walaupun ia menggerunkan saya.

4. Anda baru dalam bidang pembikinan filem, jadi apakah langkah yang anda ambil untuk menyediakan diri anda dalam proses pembikinan filem pertama anda?

Saya sedang menghubungi pembuat filem berpengalaman dan cuba sedaya upaya untuk menyertai komuniti pembikinan filem tempatan. Membina rangkaian membolehkan saya belajar daripada pengalaman dan berkemungkinan mencari mentor yang boleh membimbing saya. Saya sedang membaca banyak buku dan sumber dalam talian yang berkaitan dengan pembikinan filem.

5. Anda mencipta visual animasi anda sendiri untuk sesi pitch. Adakah anda akan meneruskan animasi sebagai perantara filem ini?

Secara peribadi, saya peminat besar animasi, terutamanya animasi 2D. Animasi ialah medium yang dipandang remeh tetapi mempunyai banyak potensi untuk memberi impak yang besar–terutamanya kepada kanak-kanak. Memandangkan sasaran saya adalah kepada individu-individu yang terlibat dalam isu ini, kanak-kanak, ibu bapa dan guru – saya percaya bahawa animasi adalah medium yang tepat untuk menyampaikan cerita ini.

Treler ‘Unsilenced’ oleh Joshua Inberaj Dewet.

6. Apakah rupa akhir filem anda?

Buat masa ini, semuanya ada dalam hati saya dan saya tidak sabar untuk menjadikannya realiti. Saya mempunyai banyak inspirasi, tetapi pada penghujung hari saya mahu dokumentari ini menyentuh peribadi dalam erti kata bahawa penonton dihubungkan dengan protagonis, seolah-olah mereka berada dalam bilik yang sama dengan protagonis. Dokumentari ini akan menjadi gabungan dokumentari pemerhatian dan penyertaan.

7. Apakah matlamat advokasi anda melalui filem ini, dan siapa penonton yang anda sasarkan?

Saya utamakan perjuangan terhadap kanak-kanak – mereka yang paling terjejas dalam masyarakat, kerana serangan seksual dan keganasan seksual boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa – walaupun dalam keselesaan rumah dan ruang mereka yang sepatutnya selamat. Dokumentari ini juga bertujuan untuk digunakan sebagai platform untuk menyokong perubahan dasar dan penambahbaikan dalam cara menangani kes keganasan seksual lelaki di Malaysia. Saya berharap ia memberi penerangan tentang rangka kerja undang-undang sedia ada, mengenal pasti jurang, dan menyokong pendekatan yang berfokuskan kepada mangsa dalam sistem keadilan.

8. Bagaimanakah anda melihat cerita ini berkaitan dengan tema ‘Why Freedom?’

Mengapa kebebasan untuk lelaki? Adakah terdapat tanggapan bahawa lelaki tidak terdedah kepada keganasan seksual? Keganasan seksual tidak mengenal jantina, umur dan bangsa. Kanak-kanak yang menuju ke alam kedewasaan atau lelaki yang meneruskan kehidupan mereka selepas keganasan seksual sentiasa mempunyai rasa pemenjaraan dalam diri mereka, sudah tiba masanya untuk kembalikan suara mereka – sudah tiba masanya untuk mereka mengenali kebebasan.

Filem Joshua ‘Unsilenced’ akan ditayangkan di FreedomFilmFest 2024 bersama dua filem lain yang menerima geran ini.


Pendapat juri FreedomFilmFest 2023 tentang ‘Unsilenced’

Pengasas Bersama
Architects of Diversity

“Keganasan seksual ke atas lelaki adalah topik yang penting untuk dibincangkan dalam masyarakat secara meluas, terutamanya perasaan malu dan penafian yang tertanam dalam diri mangsa. Saya yakin pendekatan artistik Joshua boleh membawa keadilan kepada topik dan menyokong suara individu yang mengalami keganasan seksual di seluruh Malaysia.“

Penulis
Neddo Works Enterprise

“Terdapat keikhlasan asli dalam karyanya yang indah dan menyayat hati, yang melampaui batasnya yang ingin menceritakan kisah ini kepada kami yang perlu mendengarnya.”

Pengarang Berita
MalayMail

“Saya mengagumi keberaniannya untuk mengongsikan  kisahnya, dan saya menjangkakan ia akan membawa perhatian kepada isu keganasan seksual terhadap lelaki yang masih belum diterokai. Ini mungkin menjadi pemangkin untuk gerakan yang lebih luas mengenai topik itu.”

Setiap tahun festival ini terbuka untuk cadangan daripada pembikin filem dan aktivis yang berminat di seluruh Malaysia & Singapura yang mempunyai kisah yang ingin diceritakan. Dua cadangan yang dipilih akan memenangi geran filem sebanyak RM15,000 / SGD5,000 setiap satu untuk menerbitkan filem tersebut.

Pemilihan ini berdasarkan tema edisi ke-20 FreedomFilmFest ‘Why Freedom?’, yang menjawab persoalan mengapa kebebasan adalah penting untuk kita menjadi manusia sepenuhnya? Dan apa yang berlaku kepada persekitaran kita apabila kebebasan kita disekat?

Related News & Stories