Dunia Penapisan Filem Malaysia

Penapisan filem di Malaysia bukan sahaja dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), badan rasmi yang mengeluarkan sijil penapisan bagi filem dan kandungan televisyen. Sebaliknya, pembikin filem dipengaruhi dan ditekan oleh beberapa institusi dan faktor lain yang rasmi dan tidak rasmi.

Lembaga Penapisan filem (LPF)

1. Penapisan filem dari segi undang-undang

Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) menetapkan bahawa semua jenis rakaman video dan filem untuk tujuan tayangan awam mesti ditapis oleh kerajaan. Ini termasuk iklan dan trailer publisiti.

Memiliki, mengedar atau menayang apa-apa filem yang belum ditapis dan yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) adalah sebuah jenayah. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 – RM30,000 dan atau penjara maxima sebanyak tiga tahun.

Proses penapisan yang berlaku terhadap kandungan filem tidak berlaku terhadap bentuk seni dan media lain seperti muzik, teater, lukisan dan sastera.

Tayangan No Fire Zone oleh Lena Hendry / Pusat Komas

Pada September 2017, aktivis hak asasi manusia Lena Hendry dikenakan hukuman denda RM10,000 atau satu tahun penjara kerana menayang dokumentari “No Fire Zone” di dalam satu acara tertutp di Dewan Himpunan Kuala Lumpur dan Selangor pada Julai 2013.

Dokumentari ini telah memainkan peranan yang besar di dalam keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat dakwaan berlaku jenayah perang di Sri Lanka pada 2008-09.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata:

“Keputusan mahkamah terhadap Lena Hendry tidak masuk akal kerana maklumat tentang kekejaman yang berlaku di merata dunia boleh diakses melalui portal berita atau telefon bimbit.

“Rakyat dunia sekarang telah mendapat akses kepada semua jenis media dan tindakan untuk menapis apa yang benar-benar berlaku adalah bodoh dan tidak masuk akal.

“Fakta yang paling utama adalah dokumentari tersebut bukan milik Lena Hendry. Oleh itu, dakwaan di bawah Seksyen 6, Akta Penapisan Filem tidak boleh terpakai melainkan kerajaan akan ambil tindakan tehadap semua rakyat Malaysia yang ada video tentang kekejaman di dalam telefon pintar mereka yang boleh disebar luas.

“Dokumentari tersebut juga ditayangkan kepada penoton yang khas, oleh itu, kerajaan harus hormati hak rakyat untuk bersolidariti dengan komuniti yang tertindas.

“Saya percaya bahawa Lena Hendry tidak akan didakwa di bawah undang-undang usang seperti Akta Penapisan Filem sekirannya beliau tayangan filem tentang kekejaman Israel di Palestin.”

Baca lebih lanjut:

The case of Lena Hendry and Freedom of Expression in Malaysia

Fahami lebih lanjut Lihat kes No Fire Zone

2. Siapa yang menapis filem saya?

Lembaga Penapisan Filem (LPF) adalah badan eksekutif yang menapis, memberi klasifikasi dan meluluskan filem untuk tayangan. Ia terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap hal-hal keselamatan dalaman di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak dalam proses meluluskan dan menapis filem.

Ahli LPF dan Jawatankuasa Rayuan Filem dilantik oleh Menteri.

Undang-undang tidak mewajibkan LPF untuk melantik ahli yang ada kelayakan daripada industri filem atau masyarakat sivil. Boleh dikatakan bahawa sudah menjadi satu amalan biasa untuk melantik pegawai kerajaan yang bersara sebagai ahli LPF.

3. Bagaimana filem saya ditapis?

Filem diteliti menurut sebuah garis panduan kandungan.

Kandungan yang selalunya ditapis dan dilarang adalah keganasan, seks, kritikan terhadap pemerintah dan interpretasi Islam.

Kandungan seks yang dilarang bukan sahaja terhad kepada pemaparan aktiviti persetubuhan. Ia termasuk perbuatan kecurangan, seksualiti individu bawah umur, seks sebelum pernikahan dan kegiatan seks yang dianggap songsang seperti LGBTQ.

Interpretasi dan pemahaman Islam selain daripada versi rasmi daripada kerajaan adalah dilarang.

Kandungan yang mengkritik institusi, agensi dan pegawai kerajaan seperti polis akan disemak dengan lebih teliti dan ditapis

Tiada keperluan di dalam undang-undang supaya LPF mendapatkan pandangan daripada pembikin filem semasa ia menapis atau memberi klasifikasi terhadap karya mereka.

Bagi mengurangkan risiko filem mereka dipotong dan ditapis, pembikin filem digalakkan untuk bertemu dengan LPF bagi menyemak skrip mereka untuk kandungan yang boleh dianggap kontroversi.

4. Apa selepas proses semakan LPF

Filem diteliti oleh minima, tiga ahli LPF sebelum mereka mengeluarkan salah satu daripada tiga keputusan – Lulus Bersih (LB); Lulus Dengan Pengubahan (LDP) atau Tidak Diluluskan Untuk Tayangan (TUT)).  Filem juga diberikan klasifikasi umur – U, P13, 18. 

Setiap filem mengalami ‘penapisan berganda’ di mana kandungan yang dianggap kontroversi akan dipotong dan tayangannya akan dihadkan mengikut umur penonton. Sebuah filem yang dihadkan untuk penonton berumur  18 tahun ke atas masih akan mengalami potongan kandungan. 

Laporan penapisan LPF akan mengarahkan kandungan apa yang wajib dipotong. Pemohon mesti melaksanakan arahan LPF dan kemukakan versi baru filem tersebut kepada LPF untuk kelulusan. 

LPF akan mengeluarkan sebuah sijil setelah meluluskan filem yang disunting dan selepas menerima bayaran perkhidmatan daripada pemohon. Sijil LPF diperlukan bagi menempah ruang tayang di pawagam dan di televisyen, atau untuk menjual filem dalam bentuk fizikal.  

Pemohon yang tidak setuju dengan keputusan LPF boleh mengemukan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) dalam tempoh 30 hari. 

Akta Penapisan Filem menyebut bahawa keputusan LPF, JKRF dan Menteri Dalam Negeri tidak boleh disemak semula di mahkamah. 

JawatanKuasa Rayuan Filem

Rayuan terhadap keputusan LPF akan didengari oleh Jawatankuasa Rayuan Filem, sebuah badan asing yang bebas daripada LPF dan yang mempunyai kuasa untuk ‘meluluskan, mengubah atau menolak’ keputusan LPF. 

Meskipun bebas daripada LPF, JKRF tidak bebas daripada institusi dan kepentingan kerajaan kerana kebanyakkan ahlinya terdiri daripada penjawat awam yang dilantik menteri.  

Beauty and The Beast, 2017

LPF mengarahkan pengedar filem tersebut untuk memotong tiga adegan dan membisukan sepatah dialog kerana ia “mengandungi elemen yang mempromosikan gaya hidup gay”. Selepas rayuan kepada JKRF, filem itu diluluskan tanpa sebarang pemotongan dengan klasifikasi umur PG13.

JKRF mendapati elemen gay dalam filem tersebut adalah ringan dan tidak menjejaskan elemen-elemen positif yang dipaparkan dalam filem tersebut.

 

Fahami lebih lanjut Lihat Kes Beauty and the Beast

Menteri Kabinet

Menteri Dalam Negeri boleh membuat keputusan eksekutif bagi mengubah keputusan LPF dan JKRF kerana agensi-agensi ini duduk di bawahnya.

Oleh itu, LPF tidak boleh dianggap sebagai badan yang bebas kerana segala keputusannya boleh diubah oleh seorang ahli politik.

Kuasa menteri ke atas filem dan media lain tidak terhad kepada Menteri Dalam Negeri. Menteri Komunikasi dan Multimedia juga boleh campur tangan kerana portfolio beliau merangkumi kawalan dan pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan platform siaran TV dan radio.

Keputusan Menteri Dalam Negeri adalah muktamad dan tidak boleh disemak semula di mahkamah.

"Kalau orang bantai, dia boleh bagi jawapan. Asalkan dia ada alasan, boleh lepas. Jadi saya tak kata LPF yang menghalang. Tapi orang-orang bos di atas. Sebab LPF bukan badan persendirian, dia di bawah kerajaan."

“Bagi saya, kalau filem (The New Village) menggugat, memaparkan fahaman komunis serta perkauman, kita tidak ragu-ragu akan bertindak dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya supaya ia tidak ditayangkan,."

Lelaki Komunis Terahkir, 2006

Dokumentari-musikal ini menjelajah kehidupan dan gerak-geri ketua Parti Komunis Malaysa, Chin Peng, di negeri dan pekan yang beliau dulu aktif.

Pada mulannya ia diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa apa-apa potongan. Tetapi keputusan LPF diubah oleh Menteri Dalam Negeri pada masa itu  Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berikutan satu kempen di dalam akhbar Bahasa Malaysia bagi mengharamkan filem tersebut. Kempen tersebut membantah filem itu kerana didakwa mempromosikan “fahaman komunis” dan menghina memori anggota polis yang dibunuh gerakan PKM. Ini walaupun pengarah filem Amir Muhamamad sendiri telah mengadakan sebuah tayangan khas untuk anggota polis daripada cawangan khas di mana mereka yang hadir dikatakan tidak membantah filem tersebut.

Fahami lebih lanjut Lihat Kes Lelaki Komunis Terakhir

PDRM

Penggunaan watak, imej, perlakuan, peralatan dan institusi polis di dalam filem perlu mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Walaupun PDRM akan menyemak kandungan yang mengandungi prosedur dan operasi polis bagi memastikan ia tepat, agensi itu juga akan meneliti pemaparan yang boleh dianggap negatif kepadanya. Ini termasuk memaparkan anggota polis mengambil rasuah, menyalah guna kuasa dan berkelakuan korup.

Selain daripada mengelakkan pemaparan negatif terhadapnya, PDRM juga mahu menekankan mesej bahawa ‘jenayah membawa padah’ dan setiap kesalahan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kalau kita nak buat filem yang mengandungi polis atau tentera, kita perlu hantar skrip kita kepada Bukit Aman terlebih dahulu. Mereka akan menapis sebelum LPF tapis. Mereka mesti memberi kelulusan dulu dan memeriksa samada kita mempersendakan polis atau tidak, samada pemaparan itu tepat, samada kita memberi nama buruk kepada mereka."

"Berkenaan dengan agensi beruniform, LPF tidak akan lulus atau larang sehingga polis memberi kata putus. Itu yang terjadi pada (filem) 'Motif'. Apabila kita ada surat daripada PDRM yang mengatakan filem itu telah diluluskan, mereka (LPF) tak akan rujuk kepada polis pun untuk semakan penapisan."

One-Two Jaga, 2018

Oleh kerana karya inti memaparkan kegiatan rasuah dan salahgunakuasa di kalangan anggota polis, pembikin filem terpaksa berunding berkali-kali dengan pihak polis untuk mendapat kelulusan. Polis akhirnya memberi kelulusan setelah jalan cerita asal filem ini diubah.

Menurut kajian yang dilakukan FFN, pada mulanya, pihak polis enggan memberi kelulusan kepada versi awal skrip ini yang memaparkan anggota polis menerima rasuah. Polis hanya meluluskan pemaparan tersebut setelah pembikin filem bersetuju menunjukkan bahawa watak-watak tersebut akhirnya dibawa ke muka pengadilan.

Fahami lebih lanjut LIhat kes One Two Jaga

Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dirujuk apabila sebuah filem mengandungi unsur, ajaran dan amalan Islam. Kandungan yang mengandungi unsur dan fenomena ghaib juga akan diteliti kerana ia dikatakan berada di bawah kategori “agama”. 

JAKIM mempunyai wakil yang duduk sebagai pakar agama di dalam LPF.

"JAKIM juga bukan dari awal-awal dulu lagi ada dalam (LPF). Tapi selepas ada beberapa kes yang membabitkan agama. […] ada orang buat aduan, ada orang tulis surat ke dengan mengatakan ada… contohnya menghina agama Islam dalam filem ni misalnya. Selepas ada kes barulah JAKIM dimasukkan."

"Ketika filem (Munafik) ini ditonton oleh wakil (LPF), mereka terpaksa merujuknya kepada JAKIM dan beberapa babak diminta supaya diubah kerana dibimbangi menyentuh sensitiviti agama. [...] Begitupun, saya memiliki alasan kukuh untuk menampilkan babak sedemikian, yang dirasakan tidak menyimpang dari landasan agama. Malah, saya mendapatkan banyak pandangan daripada alim ulama, selain ia jelas terkandung di dalam hadis dan kitab suci."

"Saya kena berjumpa dengan pihak JAKIM, saya kena pergi dengan team saya [berjumpa] mufti, untuk mendapatkan kebenaran dengan tajuk itu dulu dengan tema cerita yang kita nak gambarkan sebelum kita terus [buat pengambaran]. […] Kita berjumpa dengan JAKIM dan Jabatan Mufti untuk mendapat persetujuan atau mereka faham apa yang kita nak hasilkan tu. Contohnya cerita yang saya nak hasilkan tu tentang kumpulan yang terlibat dengan ajaran sesat, kan? Jadi gambaran-gambaran yang boleh kita tunjukkan, dialog-dialog yang kita tak boleh sebutkan dalam naskhah tersebut, kita present dulu pada pihak JAKIM dan jabatan agama dan barulah kita teruskan penggambaran."

"Kalau sekarang saya nak buat filem yang sarat dengan kandungan agama, saya rasa saya akan berjumpa dengan orang JAKIM untuk berbincang dan mendapat persetujuan mereka.”

Pelabur

Pelabur dan penerbit filem selalunya tidak berminat untuk melabur dan memberi dana kepada kandungan yang dianggap berisiko, lain daripada biasa dan yang berkemungkinan akan ditapis oleh LPF atau agensi kerajaan lain. 

 

"Saya tidak akan membuat satu filem yang sangat berisiko akan diharamkan. Kalau kita nak belanja seperti sejuta ringgit [..] saya kena bertanggungjawab kepada pelabur. Jadi saya tidak akan berbuat begitu. Akan tetapi, kita akan cuba sejauh mana kita boleh menghampiri batas-batas keganasan, keghairahan dan sebagainya."

"Selalunya penerbit filem yang akan mengamalkan penapisan kendiri [...] Kita risau kalau kita biarkan pengarah kita buat (apa yang dipikirkan menarik) yang sedihnya benda itu akan dipotong. Ini merugikan masa dan wang. [...] (Apa yang kita nak buat) ini sensitif, adakah kita nak buat jugak? Adakah kita patut buat rakaman dua kali supaya kita selamat? Sekiranya mereka (LPF) tolak? Supaya kita ada alternatif (bila ditolak). Sebagai penerbit filem isu ini akan sentiasa berlegar dalam otak dan bila kita baca skrip, kita rasa okay mungkin babak ini tak lepas’. Itu pasal kita rakam versi yang selamat."

"Syarikat besar yang ada kepentingan besar. Astro, Media Prima, mereka mempunyai lesen besar yang mereka tidak mahu tergadai. Mereka tidak akan mahu ambil risiko."

"Selalunya apa yang dirasakan sensitif, tidak sensitif. Ia lebih kepada persepsi orang tentang apa yang pasaran mahu. Mereka rasa pasaran tak boleh menerima (kandungan seperti) ini. Itu adalah halangan yang lebih besar daripada sistem penapisan. [ ..] Saya rasa pasaran adalah faktor penghalang atau pemangkin yang lebih besar daripada sistem penapisan."

Masyarakat awam

Aduan dan protes daripada masyarakat awam boleh mencetus agensi penapisan untuk mengubah keputusan dahulu atau mengharamkan apa yang telah diluluskan.

"Semasa saya bekerja dengan RTM, mereka selalu kata: “Kita okay (dengan kandungan ini) tapi kita kena pastikan orang tak buat aduan tentangnya kerana kalau apa-apa kita yang kena”. Itu yang saya nampak. Sikap ini sesuatu yang biasa di kalangan penapis di RTM dan juga, pada satu sudut, LPF. Mereka selalu kata “kita faham niat kamu, tetapi untuk mengelakkan salah faham atau aduan datang pada kita, kita kena jaga diri kita."

"Jadi sampai satu tahap kita bukan mengikut penapis … kita lebih risau apa yang netizen akan komen dalam sosial media. Jadi, makin bertambahlah ‘censorship board’ di Malaysia."

Polis Evo 2, 2018

Filem aksi polis ini diluluskan untuk tayangan oleh LPF tetapi segelintir agamawan yang konservatif menuduh karya itu sebagai memberi imej negatif terhadap Islam. Ini disebabkan watak jahat di dalam filem tersebut menyerupai ekstremis agama.

Produser filem kemudiannya mendapat bantuan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut. Zulkifli mengeluarkan kenyataan bahawa filem tersebut tidak menghina Islam. Beliau turut memuji filem itu kerana membawa unsur yang positif di dalam bentuk watak seorang pegawai polis wanita Muslim berpangkat tinggi yang mengetuai operasi polis.

 

Fahami lebih lanjut Lihat Kes Polis Evo 2

Penapisan Kendiri

Disebabkan undang-undang ketat dan amalan pra-penapisan yang semakin biasa di kalangan ahli industri, ramai pengiat filem komersial bertindak dengan mendalami peraturan kandungan LPF apabila berkarya. Ini supaya skrip dan filem yang dihasilkan mampu memenuhi citarasa dan kehendak LPF semasa proses semakan nanti.  

"Ini lah ‘suara’ LPF di dalam otak pembikin filem yang bertanya “adakah mereka akan potong ini, atau kat mana mereka potong?”

“Ini batasan yang tidak boleh dilanggar, dan kita akan berhati-hati apabila kita buat penggambaran, di mana kita akan mohon permit itu dan ini dan bila kita buat penggambaran, kita tak akan buat sebebas mana yang kita mahu."

“(Bila kita hasilkan kandungan) kita tahu, ini akan selamat. Ini pulak, kita tak boleh tunjuk’."

"Sebagai orang Malaysia, tak kira lah kita pembikin filem atau menghasilkan kandungan lain, kita patut sedar tentang Negara kita dan apa batasan yang jelas. Memang ada berbagai batasan yang kita kena pastikan kita tak langgar. Benda yang lain adalah dalam ‘zon kelabu’, di mana kita boleh bincang. Selalunya kita akan cuba nasib, sama ada kandungan ini lulus atau tidak. Ia lulus atau tidak bergantung pada siapa yang duduk di lembaga penapisan. Siapa yang menapis filem, siapa yang tegas pendirian dia terhadap sesuatu benda. Keputusan yang dikeluarkan kadang-kadang mengejutkan. Kadang-kadang kita boleh agak. Tetapi zon kelabu ini lah ruang yang paling seronok untuk seorang pembikin filem."

Kelemahan sistem penapisan filem Malaysia

Proses Kelulusan Yang Tidak Wajar

Semua jenis filem untuk tayangan awam wajib mendapat kelulusan kerajaan sebelum ditayangkan di dalam pawagam dan TV.

Hukuman Yang Tidak Munasabah

Kegagalan mematuhi sistem penapisan haruslah dikenakan tindakan pentadbiran dan bukan hukuman jenayah.

Badan yang tidak sesuai

Penapisan filem dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keselamatan, bukan seni dan kandungan kreatif.

Tiada wakil industri

Suara industri filem tidak diwakili di dalam keputusan penapisan filem.

Garis Panduan Yang Lemah

Garis panduan penapisan filem mengandungi sekatan yang tidak jelas dan memberi terlalu banyak budi bicara kepada penapis.

Penapisan Berganda

Filem ditapis dan pada masa yang sama, diklasifikasi – satu proses yang tidak munasabah.