SUARA PENGKARYA

Raja Azmi

Apa yang saya tidak setuju dengan censorship adalah, di mana mereka terlalu mudah meletakkan persepsi yang apa yang kita buat mesti akan jadi tiruan. Di mana sebenarnya? Tak semua akan jadi tiruan. Adakah filem itu akan mengongkong atau mempengaruhi penonton? Atau sebenarnya masyarakat yang mempengaruhi pembikin filem?

Bront Palarae

LPF bukan untuk membantu industri kreatif. Mereka ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menghalang kemungkinan ada aduan daripada masyarakat atau sesuatu kumpulan, atau untuk tidak mengeruhkan hubungan diplomatic dengan Negara-negara luar. Suasana dalam Negara pelbagai kaum seperti Malaysia rumit dan sensitif.

Chi Too

Di Malaysia, penapisan kononnya digunakan untuk melindungi rakyat daripada unsur tidak bermoral dan tidak benar. Sebenarnya, penapisan digunakan oleh kerajaan untuk menerapkan garis moral ketat dan memberitahu rakyat bahawa sesetengah amalan tidak boleh diterima. Ia juga untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap tampuk kuasa dan untuk menyembunyikan salah laku.

Haris Sulong

Mengenai mentaliti ahli LPF tentang kandungan yang diluluskan di dalam filem Negara lain tetapi diharamkan untuk filem Malaysia: 'Itu Negara lain tak apa. Bukan (Negara) kita'.

Norhayati Kaprawi

Di Malaysia kita tak boleh tunjuk imej rumah ibadat kecuali Masjid. Kuil, gereja, dan rumah ibadat lain tak boleh ditunjuk di televisyen. Babi kita tak boleh tunjuk, anjing tak boleh tunjuk. Kita hidup dalam masyarakat pelbagai komuniti dan agama, adakah kita boleh terima penapisan sebegini?

Amir Muhammad

Saya dah memang agak (filem Two Sisters) tak akan ada masalah penapisan walaupun ia mengandungi sumbang mahram kerana ia di dalam bahasa Cina. Kalau dalam Bahasa Cina mereka lebih fleksibel.

Nam Ron

Yang ada darah sikit pun mereka suruh buang. Kita patuh saja dan kita buang dan buang. Harapkan dia akan bagi (klasifkasi umur) PG13 tapi masih bagi 18. Tapi kalau KL Gangster yang sepatutnya dapat 18, dia kasi 13.

Hashim Rejab

Saya rasa masyarakat sekarang lebih bijak menilai apa yang baik dan buruk. Jika kita tidak tunjukkan budaya Melayu dahulu mengamalkan ilmu syirik, bagaimana masyarakat akan tahu in berlaku?

Suhaimi Baba

Penapisan adalah sebahagian daripada hidup seorang pembikin filem. Kalau nak buat filem, mesti berdepan dengan penapisan. Ia tidak mengurangkan kreativiti, ia cuma menyusahkan. Penapisan akan tetap di situ. Kamu kena bikin filem dan jangan fikir tentangnya.

Lina Tan

Persoalannya bukan tentang samada kita perlukan penapisan, Soalannya adakah penapisan masih relevan sekarang? Kerana sekarang dah ada internet, dah ada Netflix. Dalam saluran-saluran ini kita tak boleh tapis semua kandungan. Kita tak boleh tapis seluruh internet.

Aziz M Osman

Kalau tidak berani bermain ombak, jangan berumah di tepi pantai. [...] kita perlu bertanggungjawab dengan karya sendiri yang kita hasilkan. [...] Mengapa kita hasilkan karya ini? [...] Saya rasa itu penting bagi seorang karyawan filem untuk memiliki pengetahuan mendalam tentang karya mereka.

Zuli

Kita tak boleh memberi gambaran indah kepada semua benda. Filem adalah tentang realiti. Ia mencerminkan realiti. Kita boleh ada cerekarama (soap opera), filem yang syok-syok dan komedi romantis. Itu yang saya kata, ikut kategori filem. Kita boleh ada (kandungan) jenis K-pop dengan lelaki jambu, tetapi kita juga mesti ada (kandungan) yang mencerminkan sebaliknya.

BRONT PALARAE

Kita boleh tunjuk Brad Pitt hisap rokok, minum arak atau bercium. Tapi Rosyam Nor tak boleh buat semua ini dalam filem Malaysia

Raja Azmi

Filem saya diilhamkan oleh apa yang berlaku dalam masyarakat. Saya bukan nak ajar orang jadi macam apa yang saya paparkan dalam filem saya. Saya buat filem mengenai LGBTQ kerana saya ramai kawan-kawan daripada komuniti tersebut. Daripada situ saya dapat idea. Filem saya tidak akan menjadikan orang Malaysia LGBTQ.

Lau Kek Huat

[Absent Without Leave] bukan satu dokumentari politik. Ia kisah mencari atuk saya yang hilang dan yang tidak kenali sejak dari kecil. Saya anggap kisah ini sebagai cerita tentang keluarga. Saya ingat tiada masalah dengan penapisan. Saya terkejut apabila filem ini terus diharamkan dan langsung tiada peluang untuk merayu.

Yati Kaprawi

Tugas saya adalah untuk menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku [...] Untuk mencabar penapisan melalui bentuk audio-visual. [..] Sebagai seorang aktivis ia adalah benda yang biasa yang perlu dilalui. Ia adalah sebahagian daripada kerja aktivisme. Khususnya apabila kita ketengahkan sesuatu yang lain daripada apa yang ditegakkan oleh pemerintah, khasnya penguasa agama.

Al Jafree Md Yusop

Amalan menapis filem dan pada masa yang sama, memberi klasifikasi had umur, harus disemak semula. Tak masuk akal apabila filem ditapis dan dihadkan tayangannya kepada penonton mengikut umur. Sepatutnya, kita lakukan antara satu sahaja bukan kedua-duanya. Kalau nak tapis, tapis sahaja. Kalau nak klasifikasi, kita buat betul-betul.

Jules Ong

Tugas kita sebagai wartawan, seniman dan pembikin filem adalah untuk meluaskan pandangan dan hati mereka yang membaca tulisan kita, menonton filem kita dan yang mendengar laporan radio kita.

NOTA: Petikan di atas adalah daripada wawancara yang dikendalikan semasa kajian FFN pada 2020.