Unwanted: Memperjuangkan Warga Tua Terabai

Category
Tags
Share

Oleh Adam Adli

“Dalam sebuah masyarakat yang memuja kekayaan dan harta benda, warga tua yang terabai tidak mempunyai daya, suara, mahupun hak” ujar Lily Fu, 72 dalam melihat duduk letak sebilangan komuniti yang dilupakan masyarakat.

Lily Fu sendiri adalah seorang yang sudah melintasi usia emas. Beliau selama ini bekerja dalam lapangan sosial sebagai pengkaji dan sukarelawan berhadapan isu-isu dihadapi warga tua terabai di rumah-rumah kebajikan dan jalanan. Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Gerontologi Gunaan (kajian tentang warga tua) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, beliau turut menubuhkan SeniorsAloud, sebuah platform atas talian untuk menyokong komuniti warga tua di Malaysia.

Untuk sekian lama, Lily berazam untuk menggunakan platform visual seperti filem dokumentari bagi mengangkat isu warga tua ini. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sekarang memberi ruang masa untuk beliau akhirnya memulakan usaha pembikinan filem yang diingininya.

Cadangan filem beliau dibawa ke hadapan panel juri pemilihan FreedomFilmFest 2020 pada Mei yang lalu. Judul yang dipilihnya adalah ‘Unwanted’ atau ‘Tidak Diingini’; untuk menggambarkan apa yang selama ini beliau saksikan. Masih terdapat warga tua yang akhirnya diabaikan oleh keluarga untuk meneruskan sisa-sisa hidup samada di rumah kebajikan, atau pun di jalanan keseorangan. Dan negara ini tidak ada sebarang undang-undang untuk melindungi mereka.

Di hadapan panel juri, Unwanted bersaing dengan judul dan topik-topik lain yang lebih garang dan melawan; misalnya tentang kematian dalam tahanan dan hak kewarganegaraan antara lainnya. Bersandarkan tema “Bangsa: Manusia”, judul-judul tersebut mungkin dilihat lebih ‘seksi’ dan lebih lazim diangkat, sesuai naratif-naratif yang membina persekitaran perjuangan hak asasi manusia hari ini. Apabila Unwanted terpilih; Lily kelihatan tergamam dan terkejut.

Mungkin beliau sendiri tidak sepenuhnya yakin bahawa topik yang ditampilkannya, tentang penindasan dan diskriminasi berdasarkan umur – yang dalam kerangka hak asasi manusia dirujuk sebagai ‘ageism’ tidak kurang pentingnya berbanding isu-isu lain seperti hak migran, kesamarataan gender, mahupun isu-isu perkauman.

Asasnya mudah – hampir semua orang pasti akan menjengah tua, maka hak perlindungan ke atas warga tua adalah hak asasi yang meliputi setiap orang, termasuk diri kita sendiri di masa hadapan.

Dalam konteks sosial dan budaya masyarakat moden; warga tua dianggap sebagai tidak produktif dan membebani ekonomi serta generasi yang lebih muda. Dengan demikian, diskriminasi yang dihadapi oleh warga tua; misalnya yang berkait peluang pekerjaan, perkhidmatan sosial, kesihatan dan sebagainya mudah dipandang sebelah mata. Pandangan ini disokong oleh laporan yang dikeluarkan oleh UN Open-Ended Working Group on Ageing pada 2017. Ageism dianggap sebagai pencabulan hak asasi yang paling diabaikan oleh masyarakat.

Elderly People lining up for food help in the city centre- Human Rights SeniorsAloud
Warga emas beratur untuk mendapat makanan – Kredit gambar Lily Fu

Dalam konteks Malaysia, unjuran menunjukkan menjelang 2030, negara ini bakal dihuni oleh kira-kira 5.8 juta warga tua berusia 60 tahun ke atas, atau lebih kurang 15% dari keseluruhan jumlah warganegara. Dalam erti kata lain, Malaysia sendiri bakal menjadi ‘negara tua’ kurang 10 tahun dari sekarang. Namun, angka ini seolah-olah tidak menjadi sebuah peringatan buat kita.

Malaysia juga tergolong dalam negara yang masih belum mempunyai peruntukan undang-undang mencukupi dalam melindungi warga tua yang ditinggalkan. Sebagai perbandingan, Singapura pada 1995 telah pun memperkenalkan Akta Nafkah Ibu Bapa atau Maintenance of Parents Act yang melindungi hak warga tua terabai untuk mendapatkan nafkah dari anak-anak yang berkemampuan.

Kali terakhir isu berkaitan perundangan untuk melindungi warga tua ini diangkat adalah pada 2019 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Menurut perancangan, rang undang-undang perlindungan warga tua seharusnya di bawa ke parlimen pada 2021. Pergolakan politik negara hari ini telah membantutkan perancangan tersebut.

Unwanted akan menemui khalayak penonton menerusi FreedomFilmFest 2020 akan datang yang bertemakan “Bangsa: Manusia” dalam mengangkat isu-isu berkaitan diskriminasi dan hak asasi manusia.

Adam Adli adalah salah seorang dari panel juri pemilihan penerima geran FreedomFilmFest yang berlangsung pada 28 Mei 2020 lalu.

Setiap tahun, geran filem sebegini akan dianugerahkan kepada dua penerima bagi membiayai kerja-kerja penghasilan filem dokumentari yang berkisarkan kisah rakyat Malaysia. Filem yang dihasilkan akan ditayangkan secara perdana pada acara festival.

FreedomFilmFest adalah satu-satunya festival filem hak asasi manusia di Malaysia; menjadi penyambung kepada suara rakyat biasa yang seringkali tidak diberi perhatian.

Pautan laman web: freedomfilm.my

Related News & Stories