oleh Adam Adli

Ganja – untuk sekian lama distreotaipkan masyarakat sebagai bahan terlarang yang memudaratkan. Bagi penguasa, bukan sahaja di Malaysia malah hampir seluruh dunia sejak bermula abad ke-20; ganja dipukul rata dan dibingkaikan sebagai gateway drug kepada dadah lain yang lebih berbahaya.

Perang ke atas dadah, terutama yang dilancarkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon pada 1971 menjadikan penggunaan ganja terus dipandang serong. Sejarah perubatan tradisional dan penggunaan ganja dalam ritual masyarakat serta keagamaan lama ditenggelamkan oleh naratif berkait perang ke atas dadah.

Dogma ke atas ganja mungkin tidak terkesan ke atas generasi yang meraikan hidup sebelum Richard Nixon. Golongan muda pasca 1970an lebih terkesan dengannya. Namun, capaian internet hari ini memungkinkan untuk maklumat-maklumat alternatif mula tersebar luas. Perlahan-lahan dogma ke atas tumbuhan ini terlerai.

Masyarakat makin tercerah dengan manipulasi maklumat oleh pemegang-pemegang taruh ekonomi termasuklah industri farmaseutikal yang merupakan antara paling berkuasa dalam rerantai ekonomi moden. Perubatan alternatif, termasuk ganja diberi perhatian semula.   Ganja sebagai perubatan tidak hanya diterima orang persendirian. Badan-badan kesihatan utama beberapa negara seperti Uruguay, Kanada, Colombia, dan sebahagian besar Eropah turut menjadikannya sebagai salah satu pilihan selamat. Ia digunakan sebagai rawatan untuk penyakit dan simptom-simptom bukan sahaja fizikal, sebaliknya juga mental.

Amiruddin Abdullah, 58 tahun adalah bekas kapten angkatan tentera yang menemui rawatan berkesan kepada komplikasi pelbagai penyakit yang dihidapinya termasuk buah pinggang, jantung, dan tumor melalui perubatan berasaskan ganja. Selepas berhasil merawat diri sendiri, beliau berkongsi penemuannya dengan orang lain yang memerlukan. Perubatan berasaskan ganja dihulurkan sebagai rawatan alternatif kepada pesakit-pesakit leukemia, epilepsi, dan autisme antara lainnya.

Mei 2017, Amiruddin ditahan di rumahnya di Kg Delek Dalam, Klang. Beliau didakwa dengan 36 kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Undang-undang ini memperuntukkan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah bagi sesiapa yang ditemui memiliki ganja lebih dari 200 gram.

Selain Amiruddin, sehingga Oktober 2019, seramai 1,281 orang sedang menunggu hukuman mati, dengan 73% darinya telah disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah. Walau bagaimana pun, nyawa Amiruddin kini sedang diperhitungkan bukan sahaja di tali gantung, sebaliknya juga kemerosotan kesihatannya di penjara lantaran tidak lagi mendapat akses kepada perubatan alternatif yang diamalkannya selama ini.

Bertitik-tolak dari yang demikian, dua pembikin filem muda Loh Jo Yee, 24 dan Hidayah Hashim, 24 menggalas kesedaran untuk memperjuangkan nasib Amiruddin Abdullah melalui dokumentari mereka, Doktor Ganja. Jo Yee dan Hidayah kedua-duanya adalah penerbit video dari Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Fokus utama Doktor Ganja adalah untuk mengajak penonton melihat kepada ketidakadilan dalam sistem yang mana hukumannya terlalu berat berbanding kesalahannya. Ia bertepatan dengan tema anti diskriminasi FreedomFilmFest tahun ini iaitu ‘Bangsa: Manusia’. Filem ini adalah filem untuk memecahkan dogma masyarakat terhadap individu seperti Amiruddin.

Amiruddin dilihat sebagai mangsa bukan sahaja kepada perundangan yang dianggap tidak lagi relevan, sebaliknya juga diskriminasi ke atasnya dimana beliau ditahan seolah-olah pengedar dadah yang membinasakan masyarakat, walaupun hakikatnya beliau selama ini hanya merawat pesakit-pesakit kronik dengan memanfaatkan ganja perubatan.

Doktor Ganja dipilih sebagai salah satu pemenang geran filem FreedomFilmFest 2020 atas dua faktor – topik yang menjadi tabu dalam masyarakat, serta cabaran dari sudut teknikal untuk menyiapkan filem ini. Potensi dan dinamika yang ditonjolkan oleh Jo Yee dan Hidayah selain kepentingan isu yang cuba diangkat meyakinkan panel juri untuk menganugerahkan geran filem kepada mereka.

Menurut Jo Yee, beliau berharap agar kisah yang ingin dipaparkan dalam Doktor Ganja dapat disampaikan sebelum ianya terlambat; manakala bagi Hidayah, menceritakan detik-detik yang sedang dilalui Dr Ganja dan keluarganya melalui filem adalah lebih berkesan berbanding penulisan, dan ia adalah rakaman penting tentang perjuangan yang tak semua orang dapat lalui sendiri.

Doktor Ganja bakal menjengah khalayak penonton menerusi FreedomFilmFest 2020 akan datang.

Adam Adli adalah salah seorang dari panel juri pemilihan penerima geran FreedomFilmFest yang berlangsung pada 28 Mei 2020 lalu.

Setiap tahun, geran filem sebegini akan dianugerahkan kepada dua penerima bagi membiayai kerja-kerja penghasilan filem dokumentari yang berkisarkan kisah rakyat Malaysia. Filem yang dihasilkan akan ditayangkan secara perdana pada acara festival.

FreedomFilmFest adalah satu-satunya festival filem hak asasi manusia di Malaysia; menjadi penyambung kepada suara rakyat biasa yang seringkali tidak diberi perhatian.

Pautan laman web: freedomfilm.my

Pin It on Pinterest