Pelukis Grafik Amirul Ramthan memenangi Geran Filem FreedomFilmFest

Sejak dari kecil lagi, Fafa sering mendengar suara bisikan dan bunyi loceng yang mengganggu fikirannya dan menjadikannya muram dan susah untuk berinteraksi dengan keluarga, rakan-rakan dan guru-guru sekolah. 

Semasa Fafa membesar, keluarganya selalu mengadu tentang keadaan mentalnya yang dikatakan masam dan tidak mesra walaupun beliau berada di dalam acara meriah seperti sambutan hari jadi. Seperti kepercayaan masyarakat ketika itu, Fafa dan keluarganya beranggapan bahawa dia diganggu makhluk halus atau hantu. 

Hanya setelah dia memasuki umur 24 barulah Fafa menemui jawapan sebenar tentang kondisinya – beliau menghidapi skizofrenia, sebuah penyakit mental yang membuatkan penghidapnya mengalami halusinasi yang mereka mendengar suara bisikan. Penyakit ini boleh dirawat dan penghidapnya boleh sembuh sekiranya ia dapat didiagnos pada peringkat awal.   

 Stigma dan prejudis masyarakat telah menyukarkan Fafa untuk mendapatkan diagnosis awal bagi kondisinya dan ini telah membawa kesan yang negatif terhadap proses pembesarannya dan zaman remaja beliau. Prasangka yang masih menebal di dalam masyarakat juga memberi kesan terhadap Fafa, dan penghidap sindrom mental yang lain, dalam usaha mereka untuk membina kehidupan semasa dewasa. 

Kisah Fafa yang dirungkai oleh Amirul Ramthan akan memecah tabu penyakit mental
Kisah Fafa akan memecah tabu penyakit mental

Kini berumur 37, Fafa akan menceritakan pengalamannya di dalam sebuah filem tajaan Freedom Film Network bertajuk “FAFA: Perjuangan yang tak Didendang”. Karya tersebut bertujuan membina kesedaran masyarakat dan membasmi prejudis terhadap penyakit mental. Kisah Fafa akan dirungkai oleh Amirul Ramthan, rakannya yang juga menghidap sejenis gangguan mental bernama sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Amirul tertarik pada tema program dana filem khas FFF 2022 bertajuk Pandemik Dua Darjat yang merujuk kepada kesenjangan di dalam masyarakat yang menjadi lebih parah sewaktu pandemik Covid-19.  

“Masih mula-mula saya dapat tahu tentang dana ini saya rasa nak buat tentang penyakit mental. Saya sendiri didiagnos dengan ADHD.

Saya dan rakan berbincang mengenai stigma yang kami rasai dan kami berpendapat bahawa ia satu topik penting untuk dibawa kehadapan,” kata Amirul semasa sesi permohonan dana yang berlangsung di Pejabat FFN. 

“Kami mahu menceritakan melalui animasi dan wawancara bagaimana stigma dan kekurangan kesedaran masyarakat terhadap penyakit mental memberi kesan negatif pada pengidapnya,” kata Amirul, yang sudah berpengalaman 10 tahun sebagai seorang pelukis grafik dan illustrator. 

Lakaran awal animasi tersebut dapat membawa penonton ke dalam landskap mental seseorang yang mengidap skizofrenia di mana suara-suara halus digambarkan seperti makhluk yang tidak menyenangkan yang berkeliaran di tepi ruangan fikiran. Warna hitam, kelabu dan putih pula menyelubungi penonton dengan perasaan muram dan lesu yang susah untuk diatasi oleh pengidap.  

Filem ini akan menggunakan 80% animasi hitam dan putih bagi melakar gambaran bagi penonton apa rasanya hidup dengan sindrom mental. 

Juri, Amir Shahlan memberi komen kepada Amirul Ramthan mengenai ceritanya yang mengisahkan Fafa, seorang artist yang menhidapi penyakit mental
Juri, Amir Shahlan bersama Amirul Ramthan yang mengikuti program melalui ZOOM

Filem Amirul antara dua cadangan yang dipilih panel hakim untuk mendapatkan dana bagi penerbitan filem di bawah FFN bagi 2022. Salah seorang juri, Amir Shahlan Amiruddin, yang juga dekan Fakulti Seni Sinematik Multimedia University (MMU) mengungkapkan pandangan kedua-dua juri yang lain dengan berkata: 

“Memang ada keperluan yang sangat besar untuk meluaskan kesedaran tentang isu penyakit mental di kalangan masyarakat, kerana ia masih dilihat sebagai tabu. Filem ini memang boleh pergi jauh, khususnya melalui klip-klip pendek di media sosial”.

– Amir Shahlan Amiruddin

Seorang lagi juri, Rozana Isa, yang juga pengarah eksekutif Sisters in Islam, berkata naratif filem Amirul sangat menarik kerana ia menggunakan animasi yang dapat menarik perhatian penonton. 

“Ini satu subjek yang telah lama tidak diberi perhatian dan syabas kepada anda kerana mahu mencabar stigma dan ketidakfahaman masyarakat. Kerana ini telah mengakibatkan isu ini kurang diberi perhatian. Ini filem yang sangat penting untuk dihasilkan. Tahniah kerana mahu membikinnya. 

“Pengalaman peribadi Fafa perlu digandingkan dengan pandangan luar bahawa perlu ada perubahan struktur di peringkat masyarakat dan kerajaan bagi menghakis diskriminasi terhadap pesakit mental supaya mereka mendapat sokongan yang sewajarnya”.

Amirul berharap filem beliau dapat disebarkan dengan seluasnya bagi membina kesedaran supaya mereka yang menghidap gangguan dan penyakit mental akan mendapat diagnosis awal dan sokongan rawatan. 

“Fafa: Perjuangan yang tak Didendang” akan ditayang buat pertama kali di festival filem FreedomFilmFest 2022 pada September. Tiga filem lain yang juga mendapat dana khas akan turut ditayangkan iaitu “Greyscale”, “Can’t Run, Can’t Hide” dan “This is My School”.


Juri Geran Filem FreedomFilmFest (2022)

Related News & Stories